PUTRAJAYA, 28 Julai – Jabatan Perangkaan disaran menjalankan bancian pertanian berskala kecil secara lebih kerap bagi memastikan data sektor agro sentiasa terkini dan relevan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, bancian setiap tiga hingga empat tahun penting bagi mengumpul data mikro yang membantu perancangan dasar lebih progresif.
“Kita dah bincang dengan Jabatan Perangkaan. Ada data yang boleh diguna 5 hingga 10 tahun.
Tetapi ada juga yang perlu dikemas kini dua, tiga atau empat tahun,” katanya selepas sesi Temubual Khas Bersama Media sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025.
Beliau menjelaskan, dapatan daripada bancian terbaharu yang dijalankan selama dua tahun dengan kos RM230 juta memberi maklumat menyeluruh hingga ke peringkat perbandaran.
“Contohnya kita ada data untuk Negeri Sembilan, Kuala Pilah, bahkan sehingga ke Senaling.
Di Senaling, kita boleh kenal pasti berapa ramai penduduk terlibat dalam pertanian, jenis tanaman dan kuantitinya,” katanya.
Beliau berkata, pemetaan data terperinci itu membolehkan kerajaan menumpukan kepada pembangunan tanaman tertentu mengikut kesesuaian lokasi.
Langkah itu sekali gus meningkatkan produktiviti dan hasil pendapatan petani.
Maklumat yang dikumpul juga boleh dijadikan rujukan oleh petani bagi menentukan jenis pertanian atau penternakan yang ingin diceburi berdasarkan potensi setempat.
“Ini secara langsung merancakkan aktiviti pertanian komuniti dan membantu meningkatkan pendapatan petani serta negeri masing-masing,” jelasnya.