fb fb fb fb fb

Bajet 2023: KUSKOP sambut baik peningkatan peruntukan RM117 juta

(FOTO HIASAN)

KUALA SELANGOR, 10 Oktober - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik Bajet 2023 yang menyalurkan tambahan RM117 juta peruntukan berbanding sebelum ini.

Peningkatan sebanyak 21 peratus itu melibatkan perbelanjaan pengoperasian dan pembangunan bagi kementerian tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata sejumlah RM668.3 juta diperuntukkan kali ini berbanding hanya RM551 juta pada tahun lalu.

(Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar)

“Peruntukan kepada KUSKOP itu meliputi RM212.1 juta bagi perbelanjaan pengoperasian manakala RM456.2 juta untuk pembangunan.

“Selain itu, peruntukan di bawah skim Program Usahawan Siswazah (PUSH) diluluskan sekali gus menunjukkan kerajaan serius membantu usahawan tanpa mengira lapisan masyarakat dan kaum,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Sungai Kajang, di sini.

Jelas Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbukti amat prihatin membantu usahawan tempatan.

“Bantuan seumpama itu amat diperlukan rakyat terutama golongan usahawan yang mahu bangkit dalam perniagaan.

“Peranan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini cukup penting ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun negara yang dalam fasa endemik kini perlu membantu golongan usahawan terjejas,” katanya.

Media Baharu