fb fb fb fb fb

Baitul Mahabbah, dua lagi bakal dibuka tahun depan

Dua lagi Baitul Mahabbah masing-masing di Tanah Merah, Kelantan dan di Miri, Sarawak itu akan diwujudkan dalam masa terdekat berdasarkan keperluan / Foto FB KDN

PAPAR, 15 Disember - Dua lagi Baitul Mahabbah, atau penempatan khas sementara kanak-kanak warga asing seliaan Jabatan Imigresen bakal diwujudkan, tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kedua-dua Baitul Mahabbah berkenaan masing-masing di Tanah Merah, Kelantan dan di Miri, Sarawak itu akan diwujudkan dalam masa terdekat berdasarkan keperluan.

"Kita adakan satu premis penjagaan yang berasingan untuk memberikan anak-anak ini hidup selesa dan lebih kondusif untuk anak-anak kategori umur daripada bayi sehingga 9,10 dan 11 tahun, kita tempatkan mereka secara berasingan tetapi masih di bawah kawal selia Jabatan Imigresen," katanya pada sidang media selepas merasmikan Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen Papar, di sini

Tambah Saifuddin Nasution, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk mewujudkan Baitul Mahabbah pada tahun depan.

"Pada masa ini, depot tahanan di seluruh negara menempatkan kira-kira 12,400 orang dan daripada jumlah berkenaan 1,400 ialah kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah. Kalau depot biasa ini tidak selesa untuk didiami oleh kanak-kanak, kita akan pindahkan kanak-kanak dan penjaganya ke Baitul Mahabbah," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN