fb fb fb fb fb

Baitul Mahabbah ketiga dilancarkan di Bekenu, Sarawak

Foto facebook Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

MIRI, 30 Mei- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia, menubuhkan premis yang dikenali sebagai Baitul Mahabbah di Bekenu, Sarawak.

Ia merupakan lokasi Baitul Mahabbah yang ke-3 dibuka selepas Nilai dan Papar serta telah memulakan operasinya sejak Mac 2024 dengan kapasiti penghuni seramai 100 orang kanak-kanak.

Baitul Mahabbah berfungsi sebagai premis transit kanak-kanak warga asing yang ditangkap dalam serbuan Jabatan Imigresen sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, premis tersebut dikawal selia sepenuhnya oleh kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia dan dengan kawalan keselamatan 24 jam oleh pasukan RELA, juga satu agensi di bawah KDN.

"Idea Baitul Mahabbah ini ialah kalau dalam keadaan depoh Imigresen yang sedia ada, di mana yang dewasa dan yang kanak-kanak ditempatkan sekali tentulah keadaannya tidak kondusif.

"Kerana itu KDN melalui Jabatan Imigresen tampil dengan idea alihkan mereka itu di premis yang lebih kondusif untuk anak-anak ini yang umur 10 tahun ke bawah ini, sama ada yang dengan penjaga atau pun tanpa penjaga kita tempatkan mereka seperti premis yang kita sekarang berada", katanya kepada pemberita selepas Peluncuran Baitul Mahabbah Bekenu, di Depot Tahanan Imigresen Bekenu, Miri.

Baitul Mahabbah pertama kali dilancarkan pada 4 September 2023 di Nilai Negeri Sembilan, diikuti yang kedua di Papar Sabah pada 15 Disember 2023 dan yang ketiga di Bekenu.

Sehingga kini, sejumlah 62 daripada 239 kanak-kanak warga asing tanpa izin yang ditempatkan di Baitul Mahabbah telah dihantar pulang ke negara asal.

 

ROSLINA BINTI DIN