KUALA LUMPUR, 18 April - Ketinggian letusan Gunung Berapi Ruang, di Sulawesi Utara yang dicerap sehingga 55,000 kaki dan awan debu yang terbentuk boleh menyebabkan risiko kepada keselamatan pesawat, menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Muhammad Helmi Abdullah.
Bagaimanapun, MET menerusi kenyataan hari ini berkata, kualiti udara permukaan di Sabah dan Sarawak tidak terjejas berdasarkan pencerapan indeks pencemaran udara (IPU).
"Pada masa ini, Indonesia telah mempertingkatkan amaran letusan gunung berapi kepada Tahap 4 (AWAS) dan menjangkakan Gunung Berapi Ruang akan terus aktif dan boleh meletus dari semasa ke semasa.
"MET akan terus memantau kesan letusan Gunung Berapi Ruang terhadap negara," katanya.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial.