fb fb fb fb fb

ATM, TNI rampas barangan keperluan cuba diseludup ke Indonesia

FOTO MARKAS 1 DIVISYEN

BA’KELALAN, 10 Mei- Anggota Tentera Darat Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia yang bertugas di Pos GABMA Ba’Kelalan Limbang, berjaya merampas barangan keperluan asas tanpa tuan semasa rondaan, kelmarin.

Markas 1 Divisyen dalam kenyataan media memaklumkan semasa rondaan berhampiran Kampung Kunang Kelalan yang merupakan Lorong tikus pada pukul 12.00 tengah hari, anggota tentera terlibat terdengar bunyi kenderaan dan mendapati dua individu yang kelihatan mencurigakan melarikan diri sebaik sahaja melihat pasukan keselamatan.

Pasukan tersebut mendapati terdapat beberapa barangan yang ditinggalkan berhampiran pondok di kawasan serbuan seperti tepung gandum seberat 60 kilogram, minyak masak 30 kilogram, 25 botol minuman keras dan sembilan tin minuman keras yang hendak dibawa masuk ke sempadan Indonesia.

Rampasan dianggarkan bernilai RM4,182.

Pemeriksaan di sekitar kawasan tersebut gagal menjumpai suspek terlibat.

Kesemua barangan dirampas diserahkan ke Balai Polis Buduk Nur Ba’Kelalan untuk tindakan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE