fb fb fb fb fb

Aspirasi Malaysia 2040 seiring usaha mengukuhkan perpaduan negara

Datuk Aaron Ago Dagang berkata, menjelang tahun 2040, Malaysia disasarkan menjadi negara bangsa yang adil dan inklusif.

KUALA LUMPUR, 11 OGOS - Aspirasi Malaysia 2040 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar mencerminkan impian negara, malah seiring dengan matlamat Kementerian Perpaduan Negara dalam usaha membentuk negara bangsa.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, menjelang tahun 2040, Malaysia disasarkan menjadi sebuah negara bangsa yang adil dan inklusif, dengan rakyatnya hidup dalam sebuah masyarakat yang menjunjung prinsip keadilan sosial.

"Kita mempunyai lima Rukun Negara yang boleh dihayati untuk memupuk perpaduan nasional, menghargai kepelbagaian budaya, meningkatkan rasa hormat-menghormati, mencegah konflik, serta membina identiti kebangsaan.

"Kementerian juga telah melancarkan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan dan mengukuhkan keharmonian dalam masyarakat berbilang budaya dan kepercayaan melalui pendekatan yang menyeluruh, inklusif, dan berimpak tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Minggu Harmoni Mesra 2025 sempena Hari Kebangsaan di Universiti UCSI di sini, hari ini.

Tambah beliau, pembangunan insan berteraskan nilai MADANI akan menumpukan kepada penambahbaikan sistem pendidikan serta penanaman rasa cinta kepada negara.

Sementara itu, usaha membina masyarakat yang adil dan maju akan memberi penekanan kepada pengukuhan integrasi dan perpaduan, pembudayaan semangat muhibah, serta galakan terhadap amalan kesukarelawanan. 

TUN JULIA MOHD TAHIR