fb fb fb fb fb

ASEMME9: Menteri Pendidikan bentang sektor pendidikan Malaysia di Malta

Datuk Seri Dr Zambry (kiri) dalam lawatan kerja selama dua hari bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan Tinggi Asia-Eropah Kali Ke-9 (ASEMME9) di Malta/Foto Facebook

KUALA LUMPUR, 27 Januari - Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengadakan lawatan kerja selama dua hari bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan Tinggi Asia-Eropah Kali Ke-9 (ASEMME9) di Malta.

Dalam rangka lawatan kerja bermula 25 hingga semalam, beliau telah menyertai beberapa sesi plenari dan empat (4) sesi perbincangan meja bulat.

"Antara perincian bagi sesi plenari adalah Horizon Inklusif: Memanfaatkan Kecerdasan Buatan untuk Masa Depan Kolektif dalam bidang Pendidikan; dan mengembangkan Teknologi dan Kaedah Pembelajaran yang Inovatif dalam Pendidikan Kesihatan: Menyediakan Laluan kepada Perkembangan dan Pembangunan Inklusif Pendidikan Kesihatan.

Bagi sesi meja bulat pula adalah mengenai matlamat pembangunan mampan dalam sektor pendidikan; mengenai pengiktirafan dan mobiliti seimbang, pembelajaran sepanjang hayat dan TVET dan mengenai digitalisasi," menurut kenyataan kementerian pendidikan tinggi hari ini.

Beliau juga diberi penghormatan untuk berucap pada sesi perbincangan meja bulat dengan tajuk Digitalisation.

Dalam sesi tersebut, Dr Zambry telah menerangkan mengenai apakah impak digitalisasi kepada tiga (3) komponen penting sejagat iaitu Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Pembelajaran Sepanjang Hayat dan TVET.

Selain itu, Dr Zambry turut terlibat secara langsung dengan pembentangan laporan terkini (Stocktaking Report) berhubung status aktiviti dan program yang telah dijalankan sepanjang tahun 2022-2023.

Dalam lawatan itu juga, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama dengan Menteri Pendidikan Romania, Ligia Deca.

Kedua-dua mereka membincangkan kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan antara dua negara terutamanya dalam bidang pendidikan tinggi.

"Beliau turut berkesempatan berjumpa dengan beberapa rakan sejawatan dan delegasi dari Jepun, Ireland dan Argentina untuk berkongsi idea dan pandangan mengenai pendidikan dan penyelidikan," menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Zambry menerusi hantaran Facebooknya berkata beliau yakin banyak kerjasama pendidikan tinggi yang boleh dilakukan di peringkat antarabangsa antara Malaysia dengan negara lain.

"Seronok dapat berjumpa dan mendengar pengalaman mereka yang memegang portfolio Menteri Pendidikan dan mengetuai pelbagai bidang penyelidikan di negara masing-masing.

"Adakala butir-butir perbincangan ini boleh dikaji dan digunapakai untuk diimplementasi dalam negara kita tentang cara mencorak pendidikan tinggi negara menjadi lebih baik," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN