fb fb fb fb fb

ASEAN sifatkan China rakan penting dan pemangkin kemakmuran global

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Oktober - ASEAN menyifatkan China sebagai rakan penting dan pemangkin utama kepada kemakmuran global.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kepimpinan, kebijaksanaan serta komitmen China membina dunia yang lebih aman dan makmur terserlah melalui beberapa inisiatif.

Antaranya Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI), Inisiatif Peradaban Global (GCI) dan Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI).

Ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-China secara tertutup, beliau berkata inisiatif tersebut menunjukkan China bukan sahaja berusaha memajukan negaranya. Malah, turut berhasrat memastikan negara lain menikmati kemakmuran bersama.

Selain itu, sebagai pemangkin kepada kemakmuran global, China bukan hanya memikul tanggungjawab yang melangkaui aspek pembangunan dan pertumbuhan semata.

ASEAN juga berharap negara tersebut turut berperanan menegakkan undang-undang antarabangsa, mempromosikan perdamaian, serta mencegah konflik sebelum tercetus.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada negara itu atas sokongan berterusan terhadap kestabilan rantau ini.

Tegas beliau, kerjasama antara ASEAN dan China mampu mengubah cabaran kepada peluang dan menjadikan visi serantau sebagai realiti.

ROSLINA BINTI DIN