fb fb fb fb fb

ASEAN perlu bergerak sendiri, perkukuh perdagangan intrarantau – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 April – Negara anggota ASEAN diseru agar bergerak secara berdikari dan memperkukuhkan perdagangan intrarantau tanpa terlalu bergantung kepada kuasa luar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, komuniti ASEAN perlu segera melangkaui retorik ke arah pelaksanaan dasar dan tindakan yang konkrit untuk memastikan rantau ini kekal berdaya saing dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.

“Liberalisasi tarif dalam rantau ini sebahagian besarnya telah lengkap, namun penjajaran kawal selia, logistik rentas sempadan dan ketersambungan digital masih belum ditangani sepenuhnya,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Anwar, ASEAN kini menonjol sebagai sinar harapan dalam iklim perdagangan dunia yang semakin tidak menentu.

“Secara umumnya, kita masih komited terhadap prinsip keterbukaan, kerjasama dan kesinambungan institusi. Jumlah dagangan barangan ASEAN kini mencecah AS$3.5 trilion, namun angka ini tidak dijamin kekal.

“Dengan ancaman tarif bertubi-tubi yang melanda dunia secara pantas, kita menyaksikan kemelut global yang memerlukan tindakan segera,” katanya.

Persidangan tersebut diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang berlangsung dari 7 hingga 10 April.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN