KUALA LUMPUR, 11 Julai- Kereta api kargo yang menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos, dan China (Asean Express) telah kembali ke Malaysia selepas perjalanan selama 14 hari ke Chongqing, China.
Ketibaan kereta api itu disambut di perhentian terakhir di Depoh Pelepasan Dalam Negeri Kontena Nasional (KNICD) pada pukul 11 pagi tadi.
Asean Express yang membawa 20 gerabak dengan kontena 40 kaki itu memulakan perjalanan pertamanya ke Malaysia pada 27 Jun.
Menurut Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha, perjalanan masuk kereta api tersebut membawa natrium sulfat dari China yang akan digunakan untuk membuat detergen.
Manakala perjalanan keluar pula mengangkut produk makanan ke Thanaleng, Laos dan China.
"Perjalanan ambil masa sembilan hingga 14 har, ini adalah perjalanan masuk pertama; kami berharap akan ada lebih banyak perjalanan antara negara-negara,”katanya.
Jelas Mohd Zain, pihaknya kini menjangkakan kira-kira dua hingga tiga perjalanan dalam tempoh sebulan.
Asean Express dijangka meningkatkan kesalinghubungan perdagangan antara Malaysia, Thailand, Laos, dan China kerana lebih pantas, mengambil masa sembilan hari untuk barang sampai ke China berbanding 14 hingga 21 hari melalui laut.
Tambahnya, selepas perkhidmatan itu berkembang pihaknya bakal menjalankan perkhidmatan kereta api harian.