
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Asas perundangan yang kukuh penting dalam menangani permasalahan membabitkan keselamatan negara secara berkesan.
- Akta Keselamatan Siber 2025 (Akta 854) digubal untuk menangani ancaman dan serangan siber terhadap infrastruktur kritikal negara.
- Pindaan Kanun Keseksaan akan memasukkan elemen intipan, sabotaj dan pengaruh asing terhadap sistem politik Malaysia.
- Tindakan tegas diambil terhadap pengaruh asing atau penyalahgunaan budaya jika bertujuan menyerang atau menjatuhkan institusi negara.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata, penggubalan Akta Keselamatan Siber 2025 (Akta 854) yang diluluskan Parlimen pada Ogos 2025 bertujuan khusus untuk menangani ancaman dan serangan siber yang kini semakin kompleks serta mencabar.
Menurut beliau, akta tersebut memberi fokus kepada isu berkaitan keselamatan siber termasuk serangan terhadap infrastruktur kritikal negara.
“Mengenai serangan siber ini sebenarnya tahun lepas parlimen telah meluluskan akta keselamatan cyber akta 854 dan akta tersebut khusus untuk menangani isu-isu yang terkait dengan keselamatan siber termasuklah serangan siber.”
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa pindaan terhadap Kanun Keseksaan sedang dalam proses bagi memasukkan elemen baharu yang mengambil kira isu intipan, sabotaj serta pengaruh asing terhadap sistem politik Malaysia.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kerangka perundangan negara sentiasa relevan dengan ancaman semasa dan mampu bertindak sebagai pencegah yang berkesan.
“Dalam konteks kanun keseksaan, kanun keseksaan tersebut dalam proses untuk ditambah baik untuk mengambil kira isu intipan dan keduanya isu sabotaj dan perkara baru yang akan dimasukkan dalam kanun keseksaan tersebut ialah pengaruh asing terhadap sistem politik Malaysia”, katanya demikian selepas diwawancara dalam program Bicara Khas di Angkasapuri, Kota Media.
Mengulas isu pengaruh asing atau penyalahgunaan entiti budaya, beliau menegaskan tindakan tegas boleh dikenakan sekiranya sesuatu tindakan itu bermatlamat menyerang atau menjatuhkan institusi negara.
“Kalau matlamatnya untuk mengkritik kerajaan. kerajaan negara yang demokratik sentiasa terbuka kepada kritikan tersebut tapi kalau kritikan sebut bermatlamat untuk menyerang ataupun menjatuhkan institusi-institusi negara dan perkara itu akan diambil tindakan secara seriuslah secara profesional dan secara non political”, katanya.