fb fb fb fb fb

Artis India digalak manfaat dana MyCreative Ventures

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Oktober -Lebih ramai artis daripada kaum India digalakkan memanfaatkan pelbagai bentuk pembiayaan yang ditawarkan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV), bagi membantu mengetengahkan dan mengembangkan karya kreatif mereka.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, kerajaan terus menyokong sektor kreatif melalui geran, skim pembiayaan dan pinjaman MyCV.

Bagaimanapun, penglibatan daripada komuniti India masih rendah berbanding jumlah keseluruhan penerima manfaat tersebut.

"Hingga 30 September lepas, sejumlah 234 penerima telah memanfaatkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang diuruskan oleh MyCV, dengan 206 penerima adalah dari Semenanjung, Sabah (16) dan Sarawak (12).

"Daripada jumlah itu, hanya lapan syarikat milik India yang keseluruhan menerima lebih RM700,000. Kita hendak melihat lebih banyak permohonan daripada komuniti India, selain syarikat milik kaum Cina dan pencipta dari Sabah serta Sarawak," katanya pada sidang media mengenai kerjasama RTM-Astro yang diadakan bersempena perayaan Deepavali, di sini.

Beliau juga menggalakkan pemuzik, penerbit dan pencipta kandungan digital dalam kalangan masyarakat India mendapatkan panduan permohonan bagi dana DKK MyCV, yang terbuka kepada semua kaum bagi memastikan peluang sama rata termasuk kepada rakyat di Malaysia Timur dan kumpulan minoriti lain.

Mengambil contoh kejayaan artis hip hop India, Balan Kash yang albumnya CEKAP mendapat sokongan MyCV, Teo berkata album yang mengabungkan muzik hip hop moden dan irama Dikir Barat, menjadikan Balan artis India kedua yang menggabungkan seni tradisional Melayu dalam karyanya.

“Dua lagu daripada CEKAP juga telah dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24). Ini membuktikan karya Balan bukan hanya inovatif tetapi juga diiktiraf oleh industri muzik. Beliau juga baru-baru ini membuat persembahan di ‘Titikkum Deepavali Kondattam’, yang merupakan satu kebanggaan bagi bakat tempatan.

“Jadi, kita ingin lihat lebih ramai artis daripada kaum India tampil untuk merebut peluang ini. Dengan sokongan yang betul, bakat anda boleh pergi lebih jauh,” katanya.

Teo menjelaskan dalam tempoh empat tahun iaitu dari 2022 hingga 2025, 18 program DKK bawah MyCV telah memanfaatkan 129 penerima yang berjaya menyiapkan projek masing-masing dan mewujudkan lebih 9,000 peluang pekerjaan di seluruh negara, dengan enam program telah disiapkan manakala 12 lagi masih dalam pelaksanaan.

Beliau berkata kementerian akan terus meningkatkan kesedaran mengenai peluang pembiayaan di bawah MyCV, termasuk Dana Pemasaran dan Promosi Domestik dan Antarabangsa yang masih dibuka untuk permohonan hingga 1 Disember.

“Kita percaya ramai dalam industri ini sudah tahu tentang dana tersebut tetapi mungkin masih ada yang belum maklum. Sebab itu kita giat mempromosikan dana ini agar lebih ramai pencipta dapat memohon. Kepada artis, terutamanya daripada komuniti India rebutlah peluang ini,” katanya.

TETITIA YUSOFF