fb fb fb fb fb

APM sasar latih 12 wakil setiap agensi asas ilmu pertahanan awam

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed/ FOTO BERNAMA

KAJANG, 30 November - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan untuk memberi latihan asas ilmu pertahanan awam kepada 12 wakil daripada setiap agensi dan kementerian di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Aminurrahim Mohamed berkata sasaran itu meliputi penjawat awam dari 888 agensi dan kementerian termasuk pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Kita menyasarkan untuk mempunyai 12 orang penjawat awam dari setiap jabatan dan agensi.

"Kita harapkan mereka dapat melatih atau pun berkongsi atau memberi pencerahan kepada rakan-rakan mereka dalam jabatan atau agensi terbabit", kata Aminurrahim kepada pemberita selepas merasmikan penutup Tamat Latihan Kursus Asas Sukarelawan Penjawat Awam 2023 di Ibu Pejabat Pertahanan Awam di sini.

Pada majlis itu, seramai 116 penjawat awam daripada 14 kementerian menerima latihan asas pertahanan awam.

Sementara itu, Aminurrahim berkata pihaknya turut menyasarkan 10,000 penyertaan daripada sukarelawan APM untuk menganggotai APM setiap tahun.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD