KANGAR, 16 September- Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis menerima sekurang-kurangnya 14 panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang di seluruh negeri itu akibat angin kencang dan hujan lebat sejak pukul 3.00 petang tadi.
Kejadian berkenaan melibatkan beberapa jalan utama yang menghalang lalu lintas termasuk Jalan Kampung Jarak, Jalan Wang Ulu, Jalan Kurung Batang, Jalan Datuk Ali dan Jalan Tok Kuning.
Menurut Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud, seramai 28 pegawai dan anggota APM telah dikerahkan untuk kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang.
APM Perlis kini bersiap siaga menghadapi sebarang bencana seperti ribut, pokok tumbang, banjir kilat dan kes-kes kecemasan lain berikutan cuaca tidak menentu di negeri tersebut.