fb fb fb fb fb

Aplikasi My SRS dilancar Mac depan

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud

KOTA BHARU, 20 Januari- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan meluncurkan aplikasi My SRS pada Mac depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, aplikasi tersebut akan diguna pakai oleh anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara dalam meningkatkan keberkesanan SRS bagi menjalankan tugas rondaan.

Beliau berkata, aplikasi tersebut kini dalam peringkat pembangunan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac nanti.

Dengan aplikasi tersebut, anggota SRS dapat mengetahui lokasi keberadaan anggota semasa menjalankan rondaan.

Selain itu katanya, aplikasi tersebut juga berhubung secara langsung dengan Polis Diraja Malaysia menerusi Volunteer Smartphone Patrol sekiranya berlaku jenayah di lokasi rondaan.

"Kita sedang membangunkan satu aplikasi dan dijangka siap pada bulan Mac. Pembangunan aplikasi yang mana kita akan masukkan dalam telefon mudah alih dan dimuat turun oleh semua anggota SRS kita.

"Apabila mereka masuk rondaan, kita akan tadu lokasi rondaan, jadual dan pergerakan mereka juga akan mudah untuk dikesan, dijangka mudah-mudahan jika tidak ada halangan pada bulan Mac nanti ia boleh di perluaskan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jom Ronda Bersepadu SRS dan Kempen '1 Keluarga 1 Anggota SRS' Gabungan KRT Parlimen Pengkalan Chepa, malam tadi.

Mengulas lanjut Datuk Che Roslan berkata, pada tahun ini Kementerian Perpaduan Negara menyediakan peruntukan khas kepada SRS lebih RM3 juta.

Katanya, peruntukan itu membabitkan pembekalan dan penggantian fasiliti keselamatan SRS dengan anggaran sebanyak RM837,500 yang akan memberi manfaat kepada 119 buah Rukun Tetangga.

Selain itu katanya, sejumlah RM2.175 juta turut diperuntukkan untuk pembekalan 69 buah kabin SRS baharu dan RM231,692 untuk pembaikan kabin sedia ada di 18 kawasan SRS.

Beliau berharap dengan peruntukan yang diberikan ini dapat meningkatkan keaktifan dan keberkesanan SRS dalam komuniti selain mensasarkan agar kekerapan aktiviti kawalan serta rondaan SRS dapat dipertingkatkan lagi termasuk penglibatan golongan muda dalam SRS.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE