PUTRAJAYA, 14 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa sedih atas pemergian penerima Anugerah Nobel Kesusasteraan 2010, Mario Vargas Llosa, yang meninggal dunia semalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar menyifatkan Vargas Llosa sebagai seorang penulis besar dunia yang karya-karyanya sentiasa menggerakkan minda dan mencabar kekuasaan.
"Penulisan beliau bukan sahaja unik, malah bersifat universal. Semoga warisan dan sumbangan sastera beliau terus hidup dan dihargai generasi akan datang," katanya.
Anwar turut mengenang kembali detik istimewa ketika menerima anugerah Order of the Sun of Peru daripada kerajaan Peru pada tahun lalu.
“Apabila saya menerima ‘Order of the Sun of Peru’ tahun lepas, saya merenung tentang keistimewaan menerima penghormatan yang pernah diberikan kepadanya sebelum ini," katanya.
Mario Vargas Llosa, penulis dan tokoh sastera terkemuka dari Peru, menghembuskan nafas terakhirnya semalam di Lima pada usia 89 tahun.
Dilahirkan pada 28 Mac 1936 di Arequipa, Peru, Vargas Llosa merupakan antara tokoh utama dalam "ledakan sastera Latin Amerika" pada abad ke-20.
Karya-karyanya seperti La ciudad y los perros (1962), La casa verde (1966), dan La fiesta del chivo (2000) terkenal dengan kritikan terhadap autoritarianisme, korupsi, dan fanatisme.
Beliau menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 2010 atas "pemetaan struktur kuasa dan gambaran tajam tentang penentangan, pemberontakan, dan kekalahan individu".