fb fb fb fb fb

'Ngabas Anak Sarawak' kukuh jalinan mahasiswa dan kerajaan negeri

Roland Sagah Wee Inn/Foto Facebook: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS

GEORGE TOWN, 14 April- Program Ngabas Anak Sarawak 2025 menjadi platform terbaik kerajaan negeri menyantuni mahasiswa Sarawak yang menuntut di luar negeri sambil menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan secara langsung.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata penganjuran program itu bakal diperluaskan ke setiap zon di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai mahasiswa mendapat manfaat.

"Kita kumpulkan mereka di lokasi strategik untuk mendengar berita baik mengenai inisiatif Kerajaan Sarawak. Kalau kita berjaya capai lebih 50 peratus kehadiran, itu pun sudah satu kejayaan, apatah lagi dalam usaha meningkatkan kemahiran dan meneroka bidang tertentu," katanya pada sidang media selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Pembangunan Siswa 1, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Inovasi Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee dan wakil Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Hafiz Meah Ghouse Meah.

USM menjadi lokasi pertama penganjuran program yang menghimpunkan kira-kira 227 mahasiswa Sarawak dari beberapa institusi pengajian tinggi antaranya Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Antara pengisian program ialah forum, kuiz dan pameran melibatkan agensi-agensi Kerajaan Sarawak.

SITI AISHAH MD ISA