fb fb fb fb fb

Anwar sambut baik pelaburan Google AS$2 bilion di Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pengumuman Google yang mengesahkan komitmen pelaburannya sebanyak AS$2 bilion untuk Malaysia.

Menerusi perkongsian di media sosial, Anwar berkata ia dijangka membawa kesan berganda kepada ekonomi negara iaitu sekitar AS$3.2 bilion, sekali gus mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030.

"Pelaburan terkait pusat data yang pertama bagi Google di Malaysia dan pembangunan rantau Google Cloud ini adalah bukti bahawa perencanaan kerajaan yang jelas, selain kekuatan ekonomi dan sumber negara menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur sedia ada dan baharu.

"Nescaya, ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital.

"Dalam pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei yang lalu, saya telah tekankan bahawa selain dukungan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara umum, kerjasama strategik perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertanian," kata Anwar.

Jelas Perdana Menteri, ia penting bagi memastikan Malaysia memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini.

Google hari ini mengesahkan komitmen pelaburan sebanyak AS$2 bilion bagi menyokong agenda kerajaan Malaysia dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM