PUTRAJAYA, 10 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan rakan sejawatannya dari Jepun, Shigeru Ishiba di Kompleks Seri Perdana, hari ini.
Ishiba dan delegasinya yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari, disambut oleh Anwar sebaik tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada pukul 11.55 pagi.
Kedua-dua pemimpin itu ditemani pasangan masing-masing, Yoshiko Ishibashi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Terdahulu Anwar dan Ishiba mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan kemajuan hubungan antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan sumber manusia, serta kerjasama dalam sektor tenaga.
Mereka juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk situasi di Asia Barat.
Ishiba dan delegasi dijangka berangkat pulang pada pukul 2.30 petang ini.
BERITA BERKAITAN: