fb fb fb fb fb

Anwar, Kishida adakan pertemuan perkukuh hubungan Malaysia-Jepun

Anwar dan Kishida juga bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama termasuk konflik Palestin-Israel

PUTRAJAYA, 5 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Kishida tiba pada Sabtu bersama delegasi, bersempena dengan lawatan kerja ke negara ini.

Pertemuan berlangsung seawal pukul 10 pagi di Glasshouse, Seri Perdana dengan kedua-dua pemimpin negara menilai kemajuan hubungan dua hala terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, alam sekitar dan keselamatan tenaga serta informasi dan komunikasi. 

Anwar dan Kishida juga bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama termasuk konflik Palestin-Israel.

Lawatan kali ini turut signifikan dengan sambutan Ulangtahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini.

Jepun antara negara yang sentiasa memainkan peranan penting sebagai rakan dialog ASEAN.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak tahun 2015, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia.

Pada tahun 2022, nilai dagangan dengan Jepun berjumlah RM181.51 bilion atau AS$41.21 bilion, merangkumi 6.4 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Sehingga Jun 2023, sebanyak 2,778 projek melibatkan syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion bersamaan AS$27.43 bilion.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN