fb fb fb fb fb

KPDN Kedah pantau stesen minyak di sempadan

Foto FB KPDN Kedah

BUKIT KAYU HITAM, 5 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah sentiasa memantau stesen-stesen minyak yang beroperasi di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kedah.
 
Ini bagi memastikan kesemua stesen minyak mematuhi peraturan yang ditetapkan terutama tidak menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata pemantauan dan pemeriksaan dilakukan di enam stesen minyak yang terletak di dalam kawasan radius 50 kilometer sempadan Durian Burung di Padang Terap dan Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.
 
"Hasil pemantauan mendapati, tiada sebarang aktiviti mencurigakan dikesan semasa pemantauan dan rondaan dijalankan serta tiada kenderaan asing mengisi minyak petrol RON95 di stesen minyak berkenaan.
 
"Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) juga masih belum tamat tempoh dan setiap stesen minyak didapati menampal dan mempamerkan notis larangan jualan mengikut kuantiti yang dibenarkan oleh pihak kementerian," katanya menerusi kenyataan.
 
Tambah Affendi, KPDN Kedah turut mengingatkan pekerja premis agar tidak membenarkan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi minyak petrol RON95 dan jualan minyak diesel pula terhad kepada 20 liter sahaja.
 
"KPDN Kedah tidak akan berkompromi dengan mana-mana usaha untuk menyeleweng atau salahguna minyak bersubsidi," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN