fb fb fb fb fb

Anwar bertemu 12 tokoh industri terkemuka Kazakhstan

Foto FB Anwar Ibrahim

KAZAKHSTAN, 17 Mei- Seramai 12 tokoh industri Kazakhstan dari 12 syarikat yang tersenarai dalam Forbes telah menyertai Mesyuarat Pelaburan Meja Bulat Kazakhstan-Malaysia.

Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya menjangkakan sejumlah AS$350 juta (RM1.6 bilion) akan mampu dijana menerusi mesyuarat itu.

Jelasnya, antara syarikat terlibat dalam pertemuan berkenaan adalah Kazakhmys Corporation LLP, Magnum Cash & Carry, Orbis Kazakhstan, Mechta Market dan Alageum Electric Group.

"Hasil rundingan meja bulat itu sebanyak empat Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani.

"Antaranya Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Institut Kajian Strategik Kazakhstan (KazISS), MoU antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan Kebangsaan Kazakhstan (Atameken), MoU antara Hyrax Oil Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Alegeum Electric, MoU antara Berkat OSH Services Sdn Bhd dan APEC Training Center LLP," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berasa sedih selepas menerima laporan bahawa dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said terbunuh dalam satu serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, awal pagi tadi.

Beliau juga berharap mangsa, Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera dalam insiden itu diberi kesembuhan segera.

"Insiden ini ternyata memilukan dan menggemparkan negara, dan saya utus takziah buat keluarga.

"Justeru, berdasarkan maklumat awal mengenai serangan tersebut yang telah diterima setakat ini, saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera mencari dalangnya dan hadapkan ke muka pengadilan," kata Anwar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM