KUALA LUMPUR, 20 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi sumbangan kepada keluarga Harsheeta Sai, kanak-kanak berusia sembilan tahun yang menghidap komplikasi jantung serius.
Menerusi perkongsian di Facebook, sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika melawat kanak-kanak itu di Batu Caves, Selangor.
"Adik Harsheeta, yang kini menuntut di SJKT Saraswathy, Sungai Buloh, sedang bertarung dengan keadaan kesihatannya apabila paras oksigennya hanya berada di sekitar 70 peratus ke 75 peratus yakni jauh lebih rendah daripada paras normal iaitu 95 peratus ke 99 peratus.
"Demikian itu, adik Harsheeta perlu menjalani rawatan segera di Boston Children’s Hospital, Amerika Syarikat. Namun, kos rawatan yang mencecah AS$350,000 menjadi satu cabaran besar buat keluarganya.
"Semoga bantuan kecil ini dapat membuka lebih banyak ruang buat masyarakat untuk turut membantu. Mari kita sama-sama mendoakan agar adik Harsheeta segera mendapat rawatan yang diperlukan dan dikurniakan kesembuhan," katanya.