PUTRAJAYA, 14 Jun –Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dikurniakan Anugerah Pendidik Tersohor oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, dalam satu majlis penuh berprestij yang dianjurkan oleh College of Physicians Malaysia.
Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis berprestij anjuran College of Physicians Malaysia, yang diadakan sempena Istiadat Penganugerahan Keahlian Inaugural Royal College of Physicians (MRCP) serta penyampaian sijil Program Latihan Parallel Pathway, di sini hari ini.
Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut kepada Dr Wan Azizah yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, sebagai menghargai peranan aktif beliau dalam memajukan latihan pascasiswazah perubatan melalui laluan Parallel Pathway.
Menurut Presiden College of Physicians Malaysia, Datuk Seri Dr Paras Doshi, anugerah tersebut adalah penghormatan tertinggi diberikan kepada tokoh yang telah memberi impak besar terhadap kemajuan pendidikan perubatan di Malaysia.
“Pada hari yang penuh bermakna ini, kami amat berbesar hati menganugerahkan Anugerah Pendidik Tersohor kepada Dr Wan Azizah sebagai pengiktirafan atas sumbangan cemerlang beliau dan sokongan berterusan sepanjang fasa latihan pasca kepakaran. Sumbangan beliau menjadi tunjang kejayaan serta kelestarian program Parallel Pathway di negara ini,” katanya dalam ucapan.
Turut hadir dalam majlis bersejarah ini ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Mahathar Abd Wahab.
Datuk Seri Dr Wan Azizah merupakan pemegang Ijazah Kedoktoran daripada Royal College of Surgeons di Ireland dan telah melengkapkan latihan pascasiswazah dalam bidang Oftalmologi di Royal College of Ophthalmologists, United Kingdom.