
PUTRAJAYA, 28 Januari -Teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) dikenal pasti sebagai antara alternatif yang boleh digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengurangkan kebergantungan kepada sekatan jalan raya fizikal.
- ANPR dikenalpasti sebagai alternatif kepada sekatan jalan raya fizikal untuk kurangkan kesesakan.
- Kaedah semasa menyempitkan lorong menyebabkan trafik perlahan dan menunggu lama.
- Integrasi data ANPR dengan sistem lebuh raya membolehkan penguatkuasaan lebih bersasar.
- Teknologi ini dijangka tingkatkan kecekapan JPJ sambil mengurangkan gangguan kepada pengguna.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kaedah sekatan jalan raya yang diamalkan ketika ini sering mencetuskan kesesakan teruk, khususnya apabila lorong jalan dikecilkan untuk tujuan pemeriksaan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja mengganggu aliran trafik, malah menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa menunggu lama.
“Pendekatan baharu ialah kita bergerak ke arah pengintegrasian data dan penggunaan ANPR, iaitu pengecaman nombor pendaftaran kenderaan.
JPJ memang mempunyai projek ANPR dan ia boleh diintegrasikan dengan sistem lebuh raya kerana pengendali lebuh raya juga telah memulakan pelaksanaan teknologi ini, seperti PLUS yang dijangka bermula dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Loke menegaskan, penggunaan ANPR membolehkan penguatkuasaan dilakukan secara lebih bersasar.
Ia termasuk mengesan kenderaan bermasalah dari segi cukai jalan, lesen atau insurans, tanpa menjejaskan kelancaran trafik.
Pendekatan berasaskan teknologi itu dijangka meningkatkan kecekapan penguatkuasaan JPJ, di samping mengurangkan kesesakan dan gangguan kepada pengguna jalan raya.