fb fb fb fb fb

Anggota tentera, isteri maut kemalangan

Foto RTM

GUA MUSANG, 2 Jun- Seorang anggota tentera dan isterinya yang mengandung enam bulan maut, manakala dua anak mereka cedera selepas kereta dinaiki terbabas merempuh tembok longkang di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.35 pagi, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu, Ridwan Effendy Yusof, 43, seorang anggota tentera dari Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu dan isterinya, Suhana Khairudin, 37, seorang suri rumah. 

Dua anak mereka yang berada di tempat duduk belakang, Qaisara Damia, 15 tahun dan Akid Darwisy, 9 tahun luka pada bahagian kaki dan mulut. 

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Gua Musang. 

Katanya, setibanya di lokasi kejadian pemandu kenderaan secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri serta merempuh tembok longkang di tepi jalan. 

Rempuhan tersebut menyebabkan pemandu kenderaan tercampak keluar.

Superintendent Choon Foo berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Manakala kedua-dua mangsa yang terselamat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD