fb fb fb fb fb

Anggota polis parah dilanggar lari

FOTO HIASAN

IPOH, 5 Februari - Seorang anggota polis cedera parah selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, malam tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ketika kejadian mangsa berusia 34 tahun sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal.

Siasatan awal mendapati mangsa bersama-sama seorang lagi anggota polis telah menghampiri sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan tersebut.

Suspek kemudian telah bertindak mengundurkan kereta yang dipandunya dan melanggar motosikal mangsa hingga menyebabkannya terjatuh.

Setelah melanggar mangsa, suspek menggerakkan kereta ke hadapan dan mengundur sekali lagi hingga melanggar mangsa buat kali kedua.

Suspek kemudian memecut kereta meninggalkan tempat kejadian dan menghala ke arah Tanah Hitam.

Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa mengalami patah tulang rusuk dan bahu.

Pihak polis giat mengesan pemandu kereta terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

TETITIA YUSOFF