fb fb fb fb fb

Anak peneroka maut dihempap konkrit rumah tinggal

FOTO BOMBA PAHANG

JERANTUT, 14 Mac- Seorang anak peneroka maut dihempap dinding konkrit yang runtuh ketika sedang membersihkan dapur sebuah rumah tinggal di Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut, sekitar 4 petang semalam.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Raja Mohd Arif Raja Shamsudin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut petang semalam  sebelum bergegas ke lokasi diketuai PBK 1, Mohd Rosdi Talib.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati mangsa, Mohd Asri Azam 41 tahun berada di bawah konkrit setinggi kira- kira lima meter dan pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas  memecah dinding konkrit bagi membawa mangsa keluar.

"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian dan anggota bomba menghadapi sedikit kesukaran ekoran keadaan dinding yang agak tebal serta kedudukan mangsa yang terperangkap di bawah dinding.

"Kejadian itu menyebabkan hampir seluruh badan mangsa tersepit di bawah dinding sepanjang lima meter dengan lebar kira-kira 5.4 meter,"katanya.

Mangsa kemudian telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan seterusnya diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE