Kampung Nam Dam hidupkan tradisi lampu pelita sambut perantau

Anak-anak muda Kampung Nam Dam di Pendang, Kedah meneruskan tradisi setiap tahun memasang lampu pelita di laluan masuk ke kampung mereka

PENDANG, 16 Mac- Anak muda Kampung Nam Dam di sini menzahirkan kreativiti dengan memasang lampu pelita di sepanjang laluan masuk kampung termasuk membina beberapa replika mercu tanda negara termasuk Menara Kuala Lumpur, Menara Alor Setar dan Jambatan Pulau Pinang bagi memeriahkan Aidilfitri dan menyambut kepulangan perantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekitar 50 anak muda menjalankan kerja gotong-royong memasang pelita sejak minggu lalu.
  • Mereka keluarkan modal sendiri, beli hampir 1,000 pelita, gunakan pelita lama dan buluh sebagai tiang.
  • Usaha ini hasil idea bersama rakan-rakan, dilaksanakan atas semangat berkawan dan kreativiti.
  • Anak muda berharap tradisi diteruskan; Pengerusi MCPF memuji usaha menghidupkan semula kenangan pelita.

Sekitar 50 anak muda kampung mengambil inisiatif itu secara gotong-royong bermula minggu lalu, sekali gus mengekalkan tradisi yang sudah diamalkan sejak bertahun-tahun.

Mereka mengeluarkan modal sendiri untuk membeli hampir 1,000 lampu pelita dan menggunakan pelita lama di kiri serta kanan jalan, manakala buluh sebagai tiang diperoleh dari hutan berhampiran.

Salah seorang anak muda berkenaan, Mohd Zulfikri Zulkifli berkata pemasangan replika mercu tanda berkenaan dilakukan hasil idea bersama rakan-rakan.

“Kalau ikut replika menara ini, semuanya idea daripada kawan-kawan. Kami bergerak atas semangat berkawan,” katanya.

Replika mercu tanda seperti Menara Kuala Lumpur dipasang menggunakan lampu pelita di Kampung Nam Dam

Seorang lagi anak muda, Mohd Akalil Asyraf Mohd Yusof berharap tradisi itu dapat diteruskan setiap tahun oleh generasi muda akan datang.

“Harapan kami supaya usaha ini dapat dikekalkan dan dimajukan lagi. Dari dulu, sejak saya kecil hingga sekarang, tradisi ini diteruskan setiap tahun. Alhamdulillah, masih meriah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad memuji inisiatif golongan muda yang menghidupkan semula tradisi lampu pelita yang semakin jarang dilihat.

“Tradisi ini semakin hilang. Jadi saya ucap tahniah kepada anak-anak muda ini kerana mengambil inisiatif menghidupkan semula kenangan itu,” katanya.