IPOH, 15 April- Seekor anak gajah mati dilanggar kereta dalam kemalangan di Kilometer 50 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kejadian pada pukul 8.30 malam itu berlaku ketika anak gajah berkenaan melintas secara tiba-tiba mengakibatkan sebuah kereta utiliti sukan (SUV) tidak sempat mengelak dan melanggar anak gajah terbabit.
Kereta SUV yang dipandu lelaki berusia 35 tahun bersama dua penumpang itu dalam perjalanan dari arah Pasir Mas, Kelantan menghala ke Gerik.
"Pada masa sama sebuah lagi kereta dipandu seorang lelaki berumur 39 tahun, isteri dan tiga orang anak mereka telah melanggar bahagian belakang SUV berkenaan sehingga menyebabkan kematian pada gajah tersebut.
"Walaubagaimanapun kesemua mangsa kedua-dua kenderaan yang terlibat dengan kemalangan hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Gajah itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya.
Zulkifli turut menasihati pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa memandu ketika melalui JRTB kerana dikhuatiri terdapat hidupan liar yang melintas dan berada di atas jalan raya.
Terdahulu, tular di media sosial menerusi video berdurasi 1 minit 45 saat memaparkan anak gajah berkenaan mati terdampar di tepi laluan dan beberapa buah kenderaan rosak akibat kemalangan itu.