fb fb fb fb fb

Anak-anak ralit dengan media sosial jejas komunikasi keluarga

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Penggunaan media sosial kini sudah menjadi satu kebiasaan kepada masyarakat terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Namun, penggunaan media sosial menyebabkan kualiti komunikasi antara anak-anak dan ibu bapa semakin berkurangan.

Menurut Timbalan Pengarah Pengurusan Strategik Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Ts Dr Nur Izura Udzir, media sosial adalah tempat perkongsian maklumat tanpa sempadan serta memberi kesan kepada seseorang.

"Cuma apa yang penting adalah perlu ada masa dan had yang mana tidak melampau tidak berlebih-lebihan.

"Jadi kita perlu ada masa bersama. Sebagai contoh kita menggunakan media sosial satu jam sahaja kemudian ada aktiviti-aktiviti lain bersama keluarga.

"Kalau di rumah kita boleh masak bersama, berkebun bersama kemudian makan bersama. Ketika pada waktu makan bersama (wujudkan) komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak," katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Ujar beliau, penggunaan media sosial perlu ada keseimbangan kerana komunikasi antara keluarga amat penting demi keharmonian institusi kekeluargaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna tidak terlalu berkongsi luahan atau masalah peribadi di ruangan media sosial.

Katanya, berkongsi masalah peribadi di media sosial hanya mengundang pelbagai masalah seperti 'penyangak siber'.

"Dari segi hal keluarga peribadi sepatutnya tidaklah kita sebarkan kita bicarakan di media sosial. Kita tidak tahu siapa di luar sana yang membaca masalah kita.

"Kita mempunyai ruang dan hal peribadi yang tidak sepatutnya dikongsikan yang boleh menundang pelbagai masalah seperti penyangak siber.

"Penyangak siber akan menyalah guna maklumat peribadi kita dan membina profil peribadi yang boleh membawa kepada serangan lain termasuk serangan fizikal," katanya.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN