fb fb fb fb fb

Amizar terima respon positif penduduk DUN Pelangai

(Amizar Abu Adam menyantuni komuniti Orang Asli di Kampung Ulu Semei/BERNAMA)

BENTONG, 26 September- Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam bagi kerusi Dewan Negeri (DUN) Pelangai berpotensi untuk memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu.

Menurut Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri, perkara itu disebabkan kempen dijalankan mendapat respon positif terutama di kawasan felda.

"Jadi saya percaya perkara ini pernah berlaku di Paya Besar. Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah memperoleh undi yang banyak kerana dia anak peneroka.

"Jadi di sini lebih separuh pengundi terdiri daripada kalangan penduduk Felda. Jadi saya merasakan pengundi akan memberikan sokongan kepada calon," katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan anak muda pada Program Santai Anak Muda di Padang Awam Sungai Kemahal, Bentong di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata jentera kempen juga perlu menggunakan platform media sosial untuk mendekati pengundi khususnya pengundi muda.

Selain itu cara tersebut juga membolehkan pengundi-pengundi dari luar dapat mengetahui perkembangan kempen di Pelangai dengan cepat.

(Ismail Sabri beramah mesra dengan penduduk di Bentong)

Dalam perkembangan lain, jalinan perpaduan antara kaum Melayu dan Cina terserlah di pekan Manchis.

Ia ditonjolkan dengan keharmonian dalam komuniti kawasan itu.

Amizar Abu Adam berkata, keramahan penduduk berbilang kaum di Pekan Manchis perlu dipelihara sebagai cerminan masyarakat DUN Pelangai.

"Saya nampak elemen Perkampungan Baru Manchis ini perlu dinaik taraf sedikit lagi. Kalau dahulu pekan ini sering digelar pekan koboi namun kini ia sudah berubah. Ramai yang melalui kawasan ini akan berhenti untuk singgah.

"Sini ada beberapa produk seperti kopi. Sekiranya diminum pasti akan cuba lagi. Penduduk di sini juga peramah dan menerima kehadiran tetamu. Ini menjadikan Manchis begitu istimewa," katanya.

Media Baharu