VIENTIANE, 26 September- Malaysia terbuka untuk berkongsi pengalaman, serta mempelajari kepakaran negara anggota ASEAN ke arah meneroka potensi pembangunan sektor tenaga dalam kalangan anggotanya.
Kerjasama itu boleh direalisasikan menerusi pemerkasaan Grid Tenaga ASEAN (APG), meningkatkan kecekapan tenaga, serta pelbagai inisiatif lain.
Semasa Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan, Kuala Lumpur mempunyai cita-cita tinggi untuk memacu agenda peralihan tenaga di rantau ini.
Cita-cita tersebut boleh direalisasikan dengan sokongan dan usaha bersama negara serantau.
Beliau yang juga Naib Pengerusi AMEM menekankan bahawa usaha bersama itu penting untuk memanfaatkan sumber tenaga yang pelbagai di rantau ini dengan berkesan, terutama tenaga boleh baharu.
Sementara itu, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi hantaran di facebook memaklumkan Majlis Perasmian Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42 dan Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) ke-24 berlangsung di National Convention Center di Vientiane, Lao PDR pagi ini.