
SEPANG, 29 Januari– Semua pihak perlu serius menjaga integriti bagi memastikan negara kekal bersih, membina keyakinan serta memacu kejayaan ekonomi.
- Integriti adalah penentu kejayaan projek dan pembangunan negara untuk rakyat.
- Amaran supaya kelemahan tadbir urus dan penguatkuasaan tidak dipandang ringan.
- Majoriti perkhidmatan awam kekal berintegriti dan komited walaupun wujud salah laku kecil.
- PETRA memperkukuh audit dalaman dan semakan untuk memastikan projek berjalan lancar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan integriti bukan sekadar pentadbiran, tetapi penentu kejayaan projek dan pembangunan negara untuk rakyat.
“Jangan biarkan setitik nila merosakkan susu sebelanga. Kita perlu serius dengan peringatan ini dan semua pihak terlibat bagi memastikan negara kita bersih.”
“Apabila negara bersih, orang akan menghormati kita, pembangunan ekonomi akan berkembang, dan semua rancangan pembangunan serta projek rakyat akan sampai ke sasaran,” kata Datuk Seri Fadillah kepada pemberita, hari ini.
Beliau mengulas amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kelemahan tadbir urus dan penguatkuasaan tidak dipandang ringan.
Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, meskipun terdapat kes salah laku berskala kecil, majoriti perkhidmatan awam tetap berintegriti dan komited.
Jelasnya, demi memastikan projek berjalan lancar, PETRA memperkukuh mekanisme audit dalaman bagi memastikan semua projek berjalan lancar tanpa kelewatan.
Banyak agensi sudah menerima penarafan audit lima bintang dan semakan menyeluruh turut dijalankan untuk menambah baik tata cara serta pelaksanaan projek.