KUALA LUMPUR, 15 Februari- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di sembilan negeri sehingga pukul 6 petang ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia, kawasan terlibat merangkumi beberapa daerah di Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
Di Perak, kawasan terjejas termasuk Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, manakala di Pahang, ia melibatkan daerah Cameron Highlands, Lipis, Raub dan Rompin.
Di Selangor, ribut petir dijangka berlaku di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, sementara di Johor, kawasan terlibat ialah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
Selain itu, amaran turut dikeluarkan bagi beberapa daerah di Negeri Sembilan iaitu Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau, serta keseluruhan kawasan Kuala Lumpur dan Melaka.
Sementara itu, di Sabah, fenomena cuaca buruk dijangka melanda kawasan Pedalaman meliputi Sipitang, Tenom dan Beaufort, manakala di Sarawak, daerah Limbang turut terkesan.
"Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," menurut MetMalaysia.