fb fb fb fb fb

Amaran hujan berterusan: NDCC keluar Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana susulan amaran cuaca berterusan peringkat waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada pukul 2.00 petang tadi.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat negeri dan daerah hendaklah diaktifkan dan mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

Jawatankuasa itu juga dimohon memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

"Semua Pusat Operasi/Kawalan Bencana Peringkat Pusat hendaklah memanjangkan notis ini ke peringkat negeri dan daerah.

"NADMA melalui NDCC akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal," menurut kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, NDCC sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui talian 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Terdahulu, METMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa negeri menerusi Facebook rasminya, hari ini.

“Amaran Hujan Berterusan (Waspada). Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Pahang (Rompin); Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) sehingga Selasa, 21 Disember ini.

“Amaran sama dikeluarkan bagi Sabah (Pantai Barat; Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, dan Kota Belud. Sandakan; Telupid, Beluran dan Sandakan; serta Kudat) hari ini, 19 Disember.

"Begitu juga dikeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada bagi Kelantan, Terangganu dan Pahang (Jerantut, Kuantan dan Pekan) bermula Selasa hingga Isnin depan, 21 Disember-25 Disember," menurutnya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA