ALOR SETAR, 22 Disember- Sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal memanfaatkan pengguaan teknologi kenderaan elektrik dengan memperkenalkan mesin vakum jalanan elektrik.
Ketua Divisyen Operasi E-Idaman Sdn Bhd, Munir Amani Dasheer berkata penggunaan mesin itu lebih mesra alam bagi kerja-kerja pembersihan awam di jalan-jalan utama pusat bandar Bandaraya Alor Setar.
Katanya menerusi kenyataan, jentera yang dikenali dengan nama Glutton Vacuum, dengan kekuatan sedutan 6 psi itu mampu menyedut sisa seberat satu kilogram, termasuk batu-batu kecil, daun-daun serta sampah-sampah kecil.
Jelasnya pembelian tiga unit jentera adalah sebahagian daripada inisiatif E-Idaman dan pembuktian konsep penggunaan teknologi EV.
Jentera dengan berat 365 kilogram itu mempunyai 16 jam kuasa bateri dengan kekuatan sedutan yang tinggi.
Mesin itu dilengkapi dengan tong bersaiz 240 liter untuk menyimpan sisa yang telah disedut dan juga mempunyai sistem nyahkuman serta pewangi bagi memastikan kebersihan semasa aktiviti pembersihan.