PASIR PUTEH, 7 Mei- Laluan utama jalan persekutuan di beberapa jajahan di Kelantan terkawal dan lancar.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superitenden Suhaimi Jusoh berkata, hasil tinjauan dan pemantauan udara petang tadi mendapati, walaupun kenderaan bergerak perlahan namun aliran trafik lancar.
Ini kerana perantau kembali ke ibu kota secara berperingkat sejak Hari Raya kedua bagi mengelak kesesakan.
"Cuma apa yang saya nampak agak ketara sikit adalah laluan ke Tok Bali iaitu laluan pertembungan di antara pengguna jalan raya dar Bachok yang menghala ke Besut yang menggunakan Jambatan Tok Bali, begitu juga pengguna jalan raya dari Pasir Puteh yang menggunakan laluan Tok Bali untuk ke Besut. Mungkin pertembungan di Tok Bali menjadikan ia agak sesak sedikit tapi saya jangka pada skala tiga, walaupun sesak kenderaan bergerak lancar walau perlahan sedikit, " katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada RTM selepas melakukan tinjauan udara kesesakan aliran trafik sempena kembalinya perantau ke ibu kota.
(Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superitenden Suhaimi Jusoh)
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superitenden Suzaimi Mohammad melaporkan, aliran trafik di beberapa laluan di kawasan itu bergerak perlahan.
Setakat pukul 5 petang tadi, empat lokasi masing-masing di lampu isyarat Batu Balai, Simpang Sungai Durian-Chenulang, Simpang Bukit Sireh dan Selekoh Pak Sin di Keroh sesak dari arah Kota Bharu-Gua Musang