KUALA LUMPUR, 9 Julai -Algeria dan Uruguay bakal menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) secara rasmi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58), hari ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika menyampaikan ucapan pembukaan AMM ke-58 di sini.
“Prinsip ASEAN kini diterima melangkaui sempadan rantau ini. Hari ini, kita menyambut kehadiran Algeria dan Uruguay sebagai penandatangan baharu kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama,” katanya.
Penyertaan kedua-dua negara itu menjadikan jumlah keseluruhan penandatangan TAC meningkat kepada lebih 50 buah negara, termasuk kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, India, Kesatuan Eropah dan Rusia.
TAC yang dimeterai pada 1976 merupakan asas kepada hubungan ASEAN dengan rakan-rakan luar yang menekankan penyelesaian aman pertikaian, penghormatan kepada kedaulatan, serta tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota.