
KUALA LUMPUR, 7 Februari – Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap peningkatan aktiviti penipuan dalam talian menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
- Waspada terhadap peningkatan penipuan dalam talian semasa musim perayaan, termasuk tawaran pelaburan yang terlalu baik untuk dipercayai.
- Laporkan penipuan segera kepada NSRC dalam 30 minit untuk tindakan pantas dan kemungkinan menyekat aliran keluar dana.
- Hati-hati dengan deepfake, kumpulan Telegram palsu, dan SMS berlink; jangan klik pautan mencurigakan dan lapor kepada pihak berkuasa.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, kebiasaannya sindiket penipuan akan mengambil kesempatan ketika musim perayaan apabila orang ramai membuat persiapan termasuk mengeluarkan simpanan untuk membeli barangan keperluan dan menyediakan ‘angpau’.
“Jika sesuatu tawaran itu nampak terlalu baik untuk dipercayai, besar kemungkinan ia tidak benar. Hati-hati dengan investment scam dan mesej-mesej mencurigakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Sumbangan di Taman Sri Sentosa, di sini hari ini.
Datuk Fahmi menegaskan, mangsa penipuan perlu segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 dalam tempoh 30 minit selepas transaksi berlaku bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
“Sekiranya laporan dibuat dalam tempoh singkat, NSRC boleh menyekat aliran keluar dana dan berusaha memulangkan semula wang mangsa,” katanya.
Menurut beliau, NSRC menghimpunkan wakil semua bank komersial dan syarikat telekomunikasi bagi membolehkan tindakan penyekatan dilakukan dengan segera.
Mengulas modus operandi terkini, Fahmi berkata terdapat lebih 13 bentuk penipuan dikenal pasti termasuk penggunaan teknologi ‘deepfake’ untuk meniru wajah dan suara tokoh terkenal bagi mempromosikan pelaburan palsu.
Selain itu, katanya, terdapat juga taktik memasukkan mangsa ke dalam kumpulan Telegram kononnya pelaburan tersebut memberi pulangan segera, sedangkan kebanyakan ahli kumpulan berkenaan adalah akaun palsu atau bot.
Beliau turut memberi amaran mengenai mesej SMS yang mengandungi pautan mencurigakan.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan syarikat telekomunikasi supaya tidak lagi membenarkan penghantaran SMS yang mengandungi pautan.
“Jika masih menerima SMS yang ada pautan, itu bukan daripada telco yang sah dan berkemungkinan dihantar menggunakan peralatan khas oleh pihak tidak bertanggungjawab yang berada berhampiran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak klik sebarang pautan mencurigakan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menjadi mangsa.