fb fb fb fb fb

Aktiviti pembersihan hutan untuk pertanian punca kejadian kepala air

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad/Foto RTM

IPOH, 26 Ogos-Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad tidak menolak kemungkinan kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village Jumaat lalu berpunca daripada aktiviti pembersihan kawasan untuk tujuan pertanian.

Menurut Saarani, siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenalpasti punca kejadian.

Jelasnya, siasatan berkenaan akan tertumpu kepada Kebenaran Merancang (KM) dan pematuhan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

"Sekarang sudah ada satu syarat wajib, mana-mana orang yang nak membangunkan tanah, nak buat ladang dia kena buat KM.

"Dahulu KM untuk pembinaan, tetapi sekarang hendak memotong pokok pun kena ada KM...jadi dia sepatutnya mematuhi syarat itu dan hantar permohonan KM kepada PLAN Malaysia.

"EIA tu sepatutnya dibuat la, kalau dia gagal, dia kena denda atas kesalahan itu, apa lagi kalau kita menjadi penyebab kepada banjir," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu, muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting di Ulu Slim dilaporkan pecah menyebabkan kejadian kepala air yang mengakibatkan 175 mangsa terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS), di samping 21 orang terperangkap di Taman Eko RISDA sebelum berjaya diselamatkan bomba keesokan harinya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD