fb fb fb fb fb

Peruntukan perlindungan data peribadi dalam Akta Omnibus dikaji

Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 3 Julai- Kerajaan akan mengkaji kesesuaian peruntukan berhubung perlindungan data peribadi dalam draf Akta Perkongsian Data (Akta Omnibus), kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

"Akta Omnibus yang akan digubal masih berada di peringkat penetapan dasar prinsip-prinsip utama bagi cadangan penggubalan draf Rang Undang-Undang (RUU). RUU Perkongsian Data yang dicadangkan adalah untuk mengawal selia perkongsian data antara agensi dalam sektor awam.

"Pihak kementerian mengambil maklum akan keperluan perlindungan data peribadi daripada penyalahgunaan oleh mana-mana pihak semasa perkongsian data dijalankan di antara agensi.

"Walaupun agensi kerajaan dikecualikan daripada pemakaian Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] melalui rujukan kepada seksyen 3 Akta yang sama pada masa ini, pegawai-pegawai awam adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88]," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Gobind berkata, kakitangan awam juga tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) sekiranya pegawai awam disabitkan dengan isu ketirisan semasa mengendalikan data peribadi.

"Pihak kementerian akan mengkaji kesesuaian peruntukan berhubung dengan perlindungan data peribadi dalam draf RUU tersebut bagi mengimbangi kepentingan perkongsian data dan hak seseorang individu terhadap data peribadi mereka," katanya lagi.

SITI AISHAH MD ISA