fb fb fb fb fb

Akta, Enakmen dan Ordinan Jenayah Syariah masih sah selagi tidak dicabar

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Februari - Peruntukan dalam akta, enakmen, ordinan jenayah syariah di negeri-negeri lain masih sah dan berperlembagaan serta boleh dikuatkuasakan, walaupun Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata ia selagi mana keperlembagaan peruntukan-peruntukan tersebut tidak dicabar dan tidak disytiharkan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Beliau berkata ini memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan hanya membabitkan 16 daripada 18 peruntukan kesalahan jenayah syariah di Kelantan, bukannya di negeri-negeri lain.

“Namun begitu adakah Kerajaan Persekutuan boleh mengarahkan negeri-negeri untuk meminda undang-undang syariah di negeri-negeri?

“Apa yang boleh diputuskan, berdasarkan Fasal 2 Perkara 74, dan Butiran I Senarai II Senarai Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Maka Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja merupakan pihak berkuasa utama yang perlu dilindungi dan perlu memberi perkenan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri,” katanya demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu bagaimana kerajaan menguruskan isu terbabit.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD