fb fb fb fb fb

Akta baharu koperasi lebih responsif dan dinamik

Sekitar lawatan tapak oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, ke Morten Walk, Melaka/Foto FB Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

AYER KEROH, 27 Julai - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang mengadakan sesi libat urus bagi menggubal akta baharu koperasi.
 
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata ia bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502). Akta baharu itu akan menjadikan ekosistem koperasi lebih responsif dan dinamik.
 
Katanya, ketika ini jelajah sesi libat urus dilaksana di setiap negeri.
 
"Tetapi tujuan dan objektif akta ini adalah pertama untuk kita meliberalisasikan gerakan koperasi itu, keduanya untuk kita memperkasakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai badan agensi kawal selia kepada koperasi.

"Kita tahu cabaran sekarang, situasi pada masa ini menuntut koperasi untuk mengadaptasi kepada perubahan keusahawanan perusahaan. Cara berniaga itu semua memerlukan kawalan perundangan yang perlu kita tambah baik," jelasnya.
 
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
 
Pada majlis itu 10 anugerah disampaikan kepada koperasi yang mempamerkan prestasi cemerlang melalui Anugerah Koperasi Terbaik Malaysia, Anugerah Aktiviti Koperasi, Anugerah Koperasi Harapan serta Anugerah Koperasi Premier.
 

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI