fb fb fb fb fb

Akta 711: Kerajaan teliti cadangan pemusatan penerimaan aduan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 4 Mac- Kerajaan sedang meneliti cadangan mekanisme pemusatan penerimaan aduan kelakuan tidak wajar dan pemberian perlindungan kepada pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata cadangan pindaan dan penambahbaikan akta itu akan membolehkan pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat secara eksklusif dan efektif.

Beliau berkata seterusnya, ia mampu mewujudkan suasana neutral, lebih telus dan berkecuali dalam pengendalian semua aduan kelakuan tidak wajar daripada pemberi maklumat.

"Cadangan pindaan yang menambahbaikkan Akta 711 ini melibatkan pindaan utama di beberapa Seksyen iaitu Seksyen 2, 3, 5, 6 9, 11, 12, 13, 14 dan 26...secara khusus, dan juga Seksyen-seksyen lain secara am. Melalui cadangan-cadangan ini, fungsi kuasa menerima dan menyiasat aduan akan lebih jelas dan sekali gus dapat memastikan siasatan kelak akan lebih bersifat bebas (impartial)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Kulasegaran cadangan pemusatan penerimaan aduan itu juga bertujuan memastikan fokus kepada tatacara kerja yang lebih teratur dan jelas bagi agensi berpusat dan agensi penguatkuasaan supaya tidak keliru bidang tugas antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata cadangan itu dijadual dibentang di Parlimen tahun ini sebaik dasar berhubung agensi berpusat selesai dikaji dan dimuktamadkan.

“Ini merupakan satu daripada inisiatif Kerajaan Perpaduan dalam usaha membanteras penyalahgunaan kuasa rasuah dan pelanggaran integriti dalam masyarakat khususnya dalam organisasi awam dan swasta.

“Cadangan ini diyakini dapat membantu kerajaan mewujudkan masyarakat MADANI yang akan sentiasa menolak perbuatan salah laku rasuah dan pelanggaran integriti dalam kehidupan seharian,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI