fb fb fb fb fb

Akses pendidikan dipertingkat, tiada murid dipinggirkan

Kementerian Pendidikan komited meningkatkan akses pendidikan di semua sekolah tanpa mengira kaum atau latar belakang murid / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LANGAT, 22 Disember – Kementerian Pendidikan komited meningkatkan akses pendidikan di semua sekolah tanpa mengira kaum atau latar belakang murid, sebagai usaha memastikan tiada golongan yang terpinggir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan antara fokus utama kementeriannya adalah memperluas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan Tingkatan Enam.

“Tanggungjawab ini meliputi semua sekolah, dan kita mesti melihat reformasi pendidikan ini sebagai peluang untuk semua, tanpa mengira kaum.

“TVET dan Tingkatan Enam membuka peluang besar untuk memastikan tiada anak-anak yang ketinggalan dalam sistem pendidikan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 dan perasmian naik taraf dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tumbuk, di sini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN