fb fb fb fb fb

AKSADRON bakal jadi hab perlumbaan dan aktiviti dron di rantau ASEAN

KUANTAN, 27 Mac - Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON) dilancarkan di atas tanah berkeluasan 1.27 hektar di Tasik Paya Bungor, Kuantan sebagai hab untuk perlumbaan dan aktiviti dron berprestasi tinggi di rantau ASEAN.

AKSADRON itu juga, bakal menjadi zon sukan dron pertama di negara ini dengan menampilkan trek perlumbaan bagi penganjuran acara sukan di peringkat antarabangsa serta pembangunan dron.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, dalam perbentangan Bajet 2022, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi penubuhan AKSADRON yang akan diurus dan ditadbir oleh Futurise Sendirian Berhad.

"Apabila kita turun ke lapangan, kita lihat ramai anak muda bermain dron tetapi mereka bermain dron di tempat yang tidak dibenarkan, jadi kita dah pilih tempat yang amat sesuai di Tasik Paya Bungor ini, kawasannya luas, jauh daripada pembangunan besar jadi amat bersesuaian untuk mereka menumpukan latihan supaya kita perkasakan pelumba dron, dan hari ini kita ramai pelumba dron tetapi pelumba dron berkaliber, yang mempunyai kemampuan 'certified' (disahkan) sebab semua pelumba kena 'certified' sebab kita nak melahirkan pekerja-pekerja berkemahiran tinggi" kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran AKSADRON dan majlis pecah tanah pembinaan akademi tersebut di Tasik Paya Bungor, di sini.


(Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah ketika ditemu bual media selepas majlis pelancaran AKSADRON)

AKSADRON juga akan mempelopori program pembangunan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) bagi menarik minat rakyat negara ini menyertai industri berkenaan.

Buat masa ini, perbinaan AKSADRON tertumpu kepada pusat kajian dron, trek perlumbaan dron serta pusat rekreasi, yang dijangka dibuka kepada umum sebelum akhir tahun ini.

Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata pembinaan AKSADRON itu bakal membuka pintu kepada bakat baharu di Pahang serta pantai timur bagi sukan dron selain mewujudkan aktiviti ekonomi serta pertumbuhan inklusif setempat.

Media Baharu