AKPS perhebat aset teknologi tinggi perangi penyeludupan e-waste

FOTO BERNAMA

PELABUHAN KLANG, 9 Februari – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mempergiat usaha mendapatkan lebih banyak aset berteknologi tinggi, termasuk peralatan pengimejan mudah alih bagi membanteras penyeludupan barangan terlarang termasuk sisa elektronik atau e-waste dengan lebih berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • AKPS mempergiat perolehan aset berteknologi tinggi untuk membanteras penyeludupan e-waste di pelabuhan.
  • Teknologi sahaja tidak mencukupi; pegawai berkemahiran dan berintegriti diperlukan untuk mentafsir imej dan bukti.
  • Penyeludup menyembunyikan e-waste dalam kontena bersama muatan sah, memerlukan pemeriksaan menyeluruh.
  • Kekangan risikan dan kemungkinan sindiket berpindah ke pelabuhan lain menuntut kerjasama agensi penguatkuasaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pemilikan teknologi canggih sahaja tidak mencukupi tanpa pegawai yang berkemahiran dan berintegriti untuk mengendalikannya secara berkesan.

“Ia seperti mesin X-ray sehingga orang yang boleh membacanya dengan baik baru kita tahu bahawa barang ini adalah barang terlarang.

“Orang yang menyeludup akan membuat segala perkara yang boleh untuk memastikan ada pembiasan dalam imej X-ray tersebut, di sini kepakaran dan keikhlasan pegawai bertugas amat ditagih oleh AKPS,” katanya demikian kepada pemberita sempena lawatan kerja Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di Tapak Gudang CF4, Pelabuhan Barat di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Mohd Shuhaily, keperluan terhadap teknologi baharu didorong trend semasa penyeludupan, iaitu barangan haram disorok di dalam kontena di sebalik muatan sah sekali gus memerlukan pemeriksaan menyeluruh bagi mengesahkan kandungan sebenar.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket e-waste terbabit akan ‘memindahkan’ kegiatan itu ke pelabuhan lain, yang mana merupakan jenayah terancang.

“Buat masa ini, kekuatan risikan kami masih terhad. Kami banyak bergantung kepada maklumat dan bantuan daripada agensi penguatkuasaan lain dan setakat ini kerjasama tersebut amat menggalakkan,” katanya.

Mengulas mengenai punca peningkatan kemasukan e-waste ke negara ini, beliau berkata ia berkemungkinan berkait dengan keputusan China untuk mengharamkan import bahan buangan berkenaan.