AKPS beri amaran keras terhadap ‘pengkhianat’ boloskan warga asing

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. /Foto BERNAMA

BUKIT KAYU HITAM, 1 April – Siasatan terhadap dakwaan terdapat anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang membenarkan kemasukan warga asing secara tidak sah ke negara ini sedang dijalankan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Pengarah AKPS memberi amaran keras agar pegawai jangan terlibat dalam khianat yang menjejaskan keselamatan negara.
  • Setakat ini tiada bukti jelas menunjukkan kemasukan warga asing melalui laluan Bukit Kayu Hitam.
  • SAC Mohd Nasaruddin menyerahkan tugas Komander Bukit Kayu Hitam kepada SAC Fauzi Mohd Yusuf.
  • Kes tembakan terhadap Mohd Nasaruddin diserahkan kepada polis; beliau terselamat dalam serangan bermotosikal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah memberi amaran keras kepada pegawai dan anggotanya yang bertugas supaya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan khianat sehingga menjejaskan keselamatan negara.

Tambah beliau, setakat ini tiada bukti jelas menunjukkan kemasukan warga asing termasuk dari India dan Bangladesh berlaku melalui laluan tersebut.

“Saya gunakan ini sebagai amaran kepada pegawai-pegawai saya supaya jangan sampai saya dapat tahu, perkara itu berlaku hasil daripada perbuatan khianat, sama seperti yang saya pernah tegur sebelum ini…kalau berlaku juga, nampaknya saya kena turun ke sini lebih kerap bagi mengenal pasti siapa pengkhianat itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Komander AKPS Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan I-C-Q-S Bukit Kayu Hitam.

Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Nasaruddin M Nasir menyerahkan tugasnya sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam kepada Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusuf. SAC Mohd Nasaruddin kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (0perasi) AKPS Putrajaya selepas berkhidmat selama satu tahun dua bulan di sini.

SAC Mohd Nasaruddin merupakan individu yang terselamat apabila kenderaan dinaikinya ditembak individu bermotosikal pada 25 Februari lalu.

Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menyerahkan siasatan berkaitan kes tembakan membabitkan Mohd Nasaruddin di Bukit Kayu Hitam bulan lalu kepada polis.